RICH DAD POOR DAD (SIRI 1) : PENGENALAN



PENGENALAN

Saya mempunyai dua orang ayah, seorang ayah yang miskin dan seorang lagi ayah yang kaya. Ayah yang miskin, berpendidikan tinggi dan bijak. Beliau mempunyai PHD dan menamatkan program Ijazah Sarjana Muda. Ayah saya yang kaya adalah ayah angkat saya. Dia hanya belajar setakat tingkatan dua sahaja.

     Kedua-dua mereka kuat, berkarisma, dan berpengaruh. Kedua-duanya memberi nasihat kepada saya, tetapi mereka tidak menasihatkan perkara yang sama. Kedua-duanya percaya kepada kuasa pendidikan, tetapi tidak mengesyorkan pendidikan yang sama.

     Namun, saya tidak sekadar menerima atau menolak nasihat seorang daripada mereka. Saya mendapati diri saya berfikir lebih banyak, membanding, dan kemudiannya memilih untuk diri saya sendiri.  Mereka mempunyai sudut pandang berbeza tentang wang. Sudut pandang mereka terutamanya berkaitan wang jauh berbeza, bagaikan langit dan bumi. 

      Sebagai contoh, seorang ayah akan berkata, ''Cintakan wang adalah akar bagi kejahatan.'' Seorang lagi akan berkata, ''Kekurangan wang adalah akar bagi kejahatan.'' Antara sebab mengapa orang kaya menjadi semakin kaya, orang miskin menjadi miskin, dan kelas menengah bergelut dengan hutang adalah kerana subjek wang diajar di rumah, bukan di sekolah.

     Malangnya, subjek wang tidak diajar di sekolah. Sekolah menumpukan kepada kemahiran pelajaran dan profesional, bukan kemahiran kewangan. Hal ini menerangkan bagaimana ekesekutif bank, doktor, dan akauntan yang bijak dan mempunyai ijazah kelas pertama, berada dalam keadaan kewangan yang tidak stabil sepanjang hidup mereka.

     Oleh sebab saya mempunyai dua orang ayah yang berpengaruh, saya belajar daripada mereka berdua. Saya perlu memikirkan nasihat-nasihat mereka berdua, dengan itu saya mendapat pengajaran berharga mengenai kuasa dan kesan pemikiran seseorang kepada kehidupannya. Sebagai contoh, seorang ayah mempunyai tabiat berkata, ''Saya tidak mampu memilikinya''. Seorang lagi mengharamkan kata-kata tersebut, tetapi ditukarkan kepada, ''Bagaimana saya dapat memilikinya?'' Satu adalah kenyataan, sedangkan satu lagi adalah pertanyaan. Seorang ayah membiarkan kita melepaskan diri dengan alasan, sedangkan seorang lagi memaksa kita berfikir.
       
      Walaupun kedua-dua orang ayah bekerja keras, saya menyedari yang salah seorang daripada mereka menidurkan otaknya apabila berhadapan dengan masalah kewangan, seorang lagi pula akan melatih otaknya. Kesan jangka panjang adalah seorang ayah menjadi lebih kukuh kewangannya dan seorang lagi menjadi semakin lemah. Kedua-dua ayah saya mempunyai sikap yang bertentangan dan hal ini mempengaruhi cara mereka berfikir.

      Seorang ayah berkata, ''Belajar bersungguh-sungguh supaya kamu mendapat kerja di syarikat yang hebat''. Seorang lagi mengatakan, ''Belajar bersungguh-sungguh supaya kamu dapat mencari syarikat yang hebat untuk dibeli''.

      Seorang ayah berkata, ''Sebab mengapa saya tidak kaya adalah kerana saya ada ramai anak.'' Seorang lagi berkata, ''Sebab mengapa saya perlu kaya adalah kerana saya ada ramai anak.''

     Seorang menggalakkan perbincangan berkaitan wang dan bisnes di meja makan, sedangkan seorang lagi mengharamkan wang dibincangkan di meja makan.

     Seorang berkata, ''Buat pilihan selamat berkaitan dengan wang. Jangan ambil risiko.'' Seorang lagi berkata, ''Belajar mengurus risiko.''

     Seorang ayah bergelut menjimatkan beberapa dolar. Seorang lagi mencipta pelaburan. Seorang ayah mengajar saya menulis resume yang berpengaruh supaya saya dapat mencari pekerjaan yang hebat. Seorang lagi mengajar saya menulis pelan bisnes dan kewangan yang mantap supaya saya dapat mencipta peluang pekerjaan.

     Saya menyedari yang memang benar kehidupan seseorang itu dicorakkan oleh pemikirannya. Sebagai contoh, Poor Dad selalu berkata, ''Saya tidak akan menjadi kaya''. Maka ramalan itu menjadi realiti. Rich Dad pula sentiasa mengatakan dirinya kaya. Beliau berkata, ''Saya adalah lelaki kaya dan orang kaya tidak akan berbuat begini.'' Walaupun beliau rugi selepas magalami kegagalan, beliau tetap mengatakan dirinya kaya. Beliau menyelamatkan diri dengan berkata, ''Ada perbezaan antara rugi dan miskin. Rugi itu sementara. Miskin itu kekal.''

     Pada umur sembilan tahun, saya memutuskan hendak mendengar dan belajar daripada Rich Dad berkenaan wang. Dengan itu, saya memilih tidak mendengar kata-kata Poor Dad walaupun beliau mempunyai ijazah dan sijil.

      Apabila saya sudah memutuskan hendak mendengar kata-kata siapa, pendidikan saya berkenaan wang bermula. Rich Dad mengajar saya selama 30 tahun sehingga saya berumur 39 tahun. Beliau berhenti apabila menyedari saya tahu dan faham sepenuhnya apa yang beliau ajar selama ini.

      Oleh sebab saya bermula pada umur sembilan tahun, pelajaran daripada Rich Dad adalah mudah. Apabila semuanya sudah habis, hanya ada enam pelajaran utama yang di ulang-ulang selama 30 tahun. Buku ini mengandungi enam pelajaran itu yang ditulis semudah mungkin, semudah Rich Dad mengajar saya. Pelajaran-pelajaran ini bukan jawapan, tetapi penunjuk arah yang dapat membantu kamu dan anak-anak membina kekayaan tidak kira apa yang berlaku kepada dunia yang semakin berubah dan tidak menentu.






Comments